Laman

Minggu, 06 Maret 2011

Menyuburkan Keimanan Pada Usia Muda

Kesibukan bekerja, bersukan serta berhibur buatkan remaja lupa merawat penyakit rohani

MANUSIA sifatnya suka menghambakan diri kepada tuannya yang suka menolong, melindungi dan suka mengambil berat. Atau dengan kata lain, manusia rela mengabdikan diri kepada sesiapa yang dicintainya.

Hakikatnya, cinta yang teratas adalah cinta antara makhluk dengan Pencipta-Nya. Usia muda tidak akan bertahan kerana ia akan menjangkau dewasa dan akhirnya tiba masa tua. Setiap detik berlalu tidak akan berulang lagi, saat remaja hanya tinggal kenangan.

Jika masa remaja tidak digunakan sebaiknya, pasti akan meninggalkan kenangan pahit pada hari tua. Masa tua segala-galanya tiada yang indah, kudrat tenaga sudah semakin lemah, selera makan kian menurun meskipun disajikan makanan lazat, sering dilanda sakit kerana keupayaan fizikal melawan penyakit menjadi semakin lemah dan keterbatasan tidak melingkungi dirinya.

Dalam keadaan sedemikian, mungkin seseorang baru menyedari betapa masa muda itu amat berharga. Oleh itu, mensia-siakan masa muda yang sangat bererti bagaikan menempah derita, menanggung penyesalan, menyesal kemudian hanya satu kesengsaraan.

Memandangkan usia manusia amat terbatas, masa diperlukan dengan berjimat dalam usaha membentuk nafsu dan jiwa untuk persediaan menjadi hamba Allah yang muttaqin.

Firman Allah yang bermaksud:
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal salih serta berwasiat (nasihat-menasihati) dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran.” (Surah Al-Asr, ayat 1-3)

Allah berfirman lagi yang bermaksud:
“Kami kisahkan kepada engkau perkhabaran mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda yang beriman kepada Tuhan dan Kami tambahkan mereka itu dengan petunjuk.” (Surah Al-Kahfi, ayat 13)

Tingkah laku sosial sebahagian umat Islam ketika ini tanpa mengira kedudukan tua atau muda, berpendidikan atau tidak semacam tergambar betapa lemahnya akidah dan keimanan mereka. Kehidupan mereka semakin kalis dengan tuntutan agama.

Dalam situasi kekeluargaan, ibu bapa seperti hilang panduan, dalam institusi pendidikan, guru seperti buntu dari segi pendekatan dan dalam komuniti bernegara, masalah sosial makin sukar dibendung.

Walaupun masalah ini sering dikaitkan dengan remaja tetapi hakikatnya ia berlaku tanpa mengira umur dan latar belakang. Ulama Islam sepakat mengatakan akidah tauhid adalah dasar paling utama untuk mengenal Allah.

Ia juga menjadi pokok pemikiran membentuk kerangka perjuangan membina tauhid secara sepadu di samping mengandungi ajaran yang seimbang antara jasmani dan rohani, antara kebendaan serta kemanusiaan.

Selain mendasari pemikiran, akidah juga mendasari amalan. Sebaik mana sekalipun amalan seseorang, ia tidak akan diterima Allah kecuali dilakukan oleh orang beriman yang berpegang kepada akidah yang benar dan sah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Iman ada mempunyai 70 atau mempunyai 60 cabang, maka yang sebaik-baik ucapan perkataan Laa Ilaha Ilallah dan serendah-rendahnya membuang sesuatu benda yang menyakiti manusia di tengah jalan dan malu itu sebahagian daripada cabang iman.” (Hadis Muttafaqun Alaih)

Memandangkan iman boleh bertambah dan berkurang, marilah kita berusaha menambah serta menyuburkan keimanan kita melalui amal salih yang merangkumi ibadat umum dan khusus.

Membiasakan sunnah, akan dapat memelihara yang wajib, meninggalkan yang makruh akan dapat menghindari yang haram.

Sebagai manusia biasa, kita mudah untuk membuat rawatan penyakit jasmani tetapi bagaimana pula usaha mengesan dan merawat penyakit rohani jika sentiasa dilalaikan dengan kesibukan bekerja, keseronokan bersukan dan keasyikan berhibur?

Hanya iman saja dapat memandu dan menentukan jalan yang benar seperti kisah Saidina Umar bin Al-Khattab yang mengajak sahabatnya menambahkan iman mereka dengan memperbanyakkan zikrullah.

Diriwayatkan oleh Abu Jaafar daripada datuknya Amir Habib, seorang sahabat Rasulullah SAW katanya yang bermaksud: “Iman itu bertambah dan berkurang, lalu sahabat bertanya: Bagaimana bertambah dan berkurang? Jawabnya: Apabila menyebut dan mengingati Allah dan memuji-Nya (mengucapkan Alhamdulillah) serta menyucikan-Nya (menyebut Subhanallah), maka itu menyebabkan iman bertambah.”

Penulis ialah Naib Juara Program Imam Muda terbitan Astro Oasis

Sumber : http://www.bharian.com.my/articles/Menyuburkankeimananpadausiamuda/Article/


Wallahu a’lam bish-shawabi... (hanya Allah yang Mahatahu Kebenarannya)
Catatan ini kami tujukan untuk kami pada khususnya
dan untuk semua pembaca pada umumnya...
Jika terjadi kesalahan dan kekurangan disana-sini dalam catatan ini...
Itu hanyalah dari kami...
dan kepada Allah SWT., kami mohon ampunan...

Semoga Allah SWT. memberi kekuatan untuk kita amalkan... Amin
Wassalam...

Semoga Bermanfaat dan bisa kita ambil hikmahnya... Amin
Silahkan COPY atau SHARE ke rekan anda jika menurut anda notes ini bermanfaat...

Catatan :
Lampirkan sumbernya ya... Syukron

Tidak ada komentar:

Posting Komentar